Saturday 17 December 2011

wajah kekasih^^

assalamualaikum..^^..bile mood jiwang menjelma..lagu2 ini berlegar di udara..hehe..


Siti Nurhaliza - Wajah Kekasih

 Ku menyaksikan dedaun kekeringan
Gugur ke bumi gersang tiada penghuni
Tiada mentari, awan kesuraman
Bagaikan waktu yang terhenti

Ku menyaksikan seraut wajah cinta
Yang kehampaan tiada lagi bermaya
Kini kehilangan sebuah harapan
Bagaikan cinta yang terkubur

Adakah mungkin untukku menghindari
Gurisan kasih luka di hati
Jiwaku resah apakah kesudahan
Kecewa ataupun bahagia ooo...

Ku yakinkan diri demi rinduku
Penawar hanya dari wajah kekasih
Walaupun rintangan datang menduga
Ku tempuhinya kerna cinta membara
Ooo... mimpi yang indah
Jelmalah dalam nyata
Wajah-wajah kekasih

Ku mengharapkan ikatan kemesraan
Antara kita akan terlaksana jua
Walaupun impian dalam kekaburan
Ku yakin padamu oh Tuhan


powered by lirik lagu indonesia

Monday 17 October 2011

~langkah tercipta~

Semalam aku kelukaan,
Kecewa kehampaan,
Mencalar ketabahan,
Impian seringku harapkan menjadi kenyataan
Namun tak kesampaian,

Allah…
Inginku hentikan langkah ini
Bagaikan tak mampu untuk ku bertahan
Semangat tenggelam lemah daya,
Haruskah aku mengelamun jiwa
Ku berbisik inilah dugaan

Dan langkahku kini terbuka
Pada hikmah dugaan uji keimanan
Dan dilontarkannya ujian diluar kekuatan setiap diri insan

Allah…
Pimpini diriku,
Untuk bangkit semula meneruskan langkah perjuangan ini
Cekalkan hati dan semangatku
Kurniakan ketabahan........
Agar mimpi jadi nyata..
padaMu ku meminta

Dan ku mohon agung kudratMu
Wahai Tuhan Yang Satu
Segalanya dariMu 

Saturday 15 October 2011

setelah sekian lama

assalamualaikum..^_^
sudah lama tak menceburkan diri dalam blog nie..kesibukan masa tidak mengizinkan..
tetibe ada rasa keinginan hati untuk mengedit blog.walaupun masa tu tak ada...hehe...
diriku bebas daripada virus...haha...laptop kena format...bkn aku yang kne virus..akhirnya...format lah jugak kn...hehe...baru jea ingat nak jimat duit...tengok2..melayang cam tu jea duit tu..uhuhu...nak buat cam maner..tak ape..rezeki tu ada di mana-mana..insyaALLAH...^_^..keep on smiling...^________________________^
annyeong... 

Monday 29 August 2011

Peristiwa Syawal


Bila nak dekat raya ni, ramailah kanak-kanak dan para remaja yang berharap untuk mendapat pakaian baru, kasut baru dan macam-macam lagi.
Ia seperti menjadi kewajipan kepada ibu bapa untuk membelinya walaupun dalam keadaan kekurangan yang teramat. Sehingga ada kalanya membuatkan anak-anak tersebut membenci kedua ibu bapanya jika tidak membelikan pakaian baru buat mereka.
Marilah kita hayati kisah Saidina Umar al-Khattab dan anaknya.
Suatu hari anak Khalifah Umar al-Khattab pulang dari sekolah dengan menangis teresak-esak. Ketika ditanya oleh ayahnya, ia menjawab bahawa teman-temannya di tempat pengajiannya menghina bajunya yang penuh dengan tampalan (baju yang bertampal-tampal)
Di antara mereka mengatakan : "Hai kawan-kawan, perhatikan berapa jumlah tampalan budak ini!" Ia menjadi bahan ketawa teman-temannya, amatlah sedih hatinya.

Pola hidup keluarga Khalifah Umar memang sederhana, teramat sederhana. Walaupun berjawatan sebagai khalifah, tampalannya bajunya ada empat belas. Salah satunya ditampal dengan kulit kayu.
Tibalah suatu hari apabila Umar al-Khattab berhajat untuk membelikan pakaian baru untuk anaknya di bulan Syawal, kerana ketiadaan wang pergilah Umar ke Baitulmal untuk meminjam beberapa dirham untuk membeli pakaian tersebut . Kerana tidak bertemu Saidina Umar dengan bendahara Baitulmal, beliau meninggalkan sepucuk surat, isinya sebagai berikut :
"Kepada bendahara Baitulmal yang terhormat saya memohon pinjaman sebesar empat dirham. Insya-Allah pada awal bulan depan, setelah pembahagian gaji dari Baitulmal, saya akan segera melunasinya."
Si bendahara tidak langsung cemas setelah menerima surat dari Khalifah. Dia juga tidak cepat-cepat mengambil wang dari Baitulmal lalu mengirimnya kepada Khalifah.
Dia mengamati surat itu sangat lama. Dia mengetahui bahawa pemimpinnya itu bukan sejenis penguasa yang memanfaatkan amanat rakyat untuk kepentingan peribadinya.
Saidina Umar bin Khattab R.A dikenali sebagai pemimpin yang adil dan tegas. Bukan saja dia adil terhadap rakyat sekitarnya, beliau juga bersikap adil terhadap anak-anaknya dan dirinya.
Apabila dirinya terbukti salah dalam menjalankan amanat Allah, dia rela dihukum dan didenda walaupun dia mampu menolak penghukuman tersebut kerana jawatannya.
Apabila dia dihadapkan kepada dua kepentingan, kepentingan si anak dan kepentingan Islam, maka dia akan mendahulukan kepentingan agamanya.
Sifat Umar al-Khattab seperti ini sudah umum diketahui oleh rakyatnya, tidak terkecuali si bendahara Baitulmal ini.
Si bendahara menjawab surat Khalifah dalam bentuk sebuah pertanyaan.
Kepada Amir al-Mukminin Umar bin Khattab,
"Telah saya baca surat anda tentang permohonan pinjaman dari wang Baitulmal. Aku sekadar ingin bertanya, apakah Tuan berani bahawa diri Tuan pasti tetap hidup sampai akhir bulan sehingga aku dapat menuntut hutang Baitulmal dari Tuan? seandainya ajal menjemput Tuan sebelum bulan ini berakhir, apakah Tuan mampu mempertanggungjawabkanya di hadapan Allah? Wasalam."
Selesai membaca surat balasan dari pejabat Baitulmal, Khalifah Umar merasa amat sedih kerana tidak mampu melunasi hajatnya untuk membeli baju baru untuk anaknya.
Setibanya Hari Raya, Umar al-Khattab melihat anaknya memakai baju yang bertampal-tampal dan beliau terus menangis, "Mengapa engkau menangis, wahai ayahku?" Tanya anaknya.
Umar menjawab: "Aku bimbang hatimu sedih di Hari Raya apabila kawan-kawanmu menghina bajumu yang bertampal-tampal itu."
Kemudian anaknya berkata: "Seharusnya yang harus bersedih itu ialah orang yang tidak mendapat keredhaan Allah dan menderhakai kedua orang tuanya. Sesungguhnya aku berharap agar Allah Azza wa Jalla memberikan redha-Nya kepadaku sebab keredhaanmu kepadaku".
Semakin deras air mata Khalifah Umar mengalir apabila mendengar kata-kata anaknya dan beliau terus memeluknya dan mendoakannya.
Kesimpulannya, inilah contoh didikan yang terbaik dari anak Khalifah Saidina Umar al-Khattab, yang tidak mengharap sesuatu pun dari kedua ibu bapanya kecuali keredhaanya.
Adakah wujud anak-anak sebegini di zaman ini? Mungkin 1/1000000 agaknya. Pengajaran lain yang dapat diambil, adakah pemimpin seperti ini wujud pada zaman sekarang? Fikir-fikirkanlah...

Saturday 20 August 2011

Jihad Cinta Damia


"Apa salah Mia, Mama? Mia tutup aurat, Mia solat.. tiap-tiap hari Mia doakan kesejahteraan keluarga kita ma, tapi kenapa Tuhan balas Mia begini??!" Damia berada erat dalam dakapan ibunya, Faridah.
Sejak anaknya menjadi mangsa kerakusan lelaki tidak berhati perut, sejak itulah hidup anaknya seakan gelap. Tiada lagi senyum dan tawa yang menghiasi satu-satunya anak perempuan kesayangannya. Tercabar jua naluri keibuannya. Entah apa lagi yang harus dilakukan untuk mengembalikan semangat puteri kesayangannya. Pujukan dengan kata-kata seakan lemah buat Damia. Hanya doa yang mampu Faridah titipkan agar Damia kembali positif dalam hidupnya.
"Andai ibu diberi pilihan, biarlah ibu yang menanggung deritamu, Mia," bisik hati kecilnya.
Damia bukan lagi seperti dulu. Perwatakannya jauh berbeza dari sebelumnya. Kalau dulu pada awal Subuh dan selepas Maghrib akan terdengar alunan bacaan al-Quran yang merdu menghiasi kamarnya. Namun kali ini cuma esakan yang menjadi ganti suasana itu. Ah, rindunya pada Damia yang dulu! Terkadang hampir sahaja keluar sumpah serana dari bibirnya untuk lelaki tak bertamadun itu. Kalau ikutkan hati, biarlah lelaki itu mati di tangannya!
"Mama tak tahu lagi nak buat apa.. ma tak sanggup tengok adik kamu terus menangis macam ni. Sekarang dah hampir tiga bulan Johan. Tiga bulan! Tengoklah apa lelaki keparat tu dah buat dengan adik kamu! Makan pun payah, solat pun dia dah abaikan, asyik menangis.. menangis... menangis. Jumpa doktor psikologi pun tak ada sembuhnya!" Perasaannya berbaur marah dan kecewa.

Ujian apakah yang menimpa keluarganya? Cukuplah dia melalui zaman perit bersama bekas suaminya dulu, cukuplah hanya dia yang menanggung derita dan kecewanya terhadap seorang lelaki. Kenapa 'lelaki' juga yang memusnahkan hidup anaknya, Damia?!
"Ma, Jo tahu apa yang menimpa Damia memang teruk dan tak pernah terfikir pun ia akan berlaku. Tapi Jo yakin setiap kejadian ada hikmahnya, ma. Mama pernah ajar Jo kan, kita tak boleh putus asa dalam hidup ni sedangkan Allah masih tidak pernah putus menghulurkan pemberian-Nya. Allah masih memberi kita waktu untuk bernafas di udara-Nya, memberi waktu untuk mengingati-Nya, memohon pada-Nya. Mama juga pernah kata, tiap perbuatan ada balasannya. Selagi kita berhambakan Allah untuk hidup, dan bukan berhambakan hidup untuk Allah, kita pasti akan menemui kebahagiaan. Entah dunia atau Akhirat..." Matang bicara Johan.
Jatuh jua air mata Faridah, bersyukur memiliki anak seperti Johan. Saat dia hampir rebah, dia punya anak yang memapah. Wajarkah dia berputus asa pada rahmat-Nya?
"Alhamdulillah... terima kasih sedarkan mama, Jo. Kita sama-sama berdoa, semoga adik kamu tabah dan mendapat hidayah-Nya," Johan tersenyum sambil memegang erat tangan ibunya.
Jam hampir menunjukkan jam 8.20 malam. Bising. Satu-persatu buku dari rak yang tersusun kemas dibiarkan berselerak di atas lantai. Apa sahaja objek di hadapan mata Mia seakan tidak kena pada tempatnya. Pasu bunga yang dibiarkan jatuh dan pecah di hadapannya seakan menghiburkan hati. Lantas jari-jemarinya bermain dengan serpihan kaca yang berterabur di sekitar permukaan lantai. Tiada perkataan 'luka' yang wujud pada deria rasa saat Mia menyentuh serpihan-serpihan kaca oleh jemarinya. Baginya tidak ada gunanya lagi dia menghargai jasad yang sudah menjadi mangsa nafsu hamba dunia. Kotor! Jijik!
"Astaghfirullah.. Mia!" Faridah berlari mendapatkan Mia. Johan pantas menarik tangan adiknya yang sudah dibasahi darah kerana luka dari serpihan kaca yang disentuhnya.
"Mia! Kau sedar tak apa yang kau buat ni?!!"
"Johan, janganlah marah adik kamu.. dia masih tak stabil," ujar Faridah sambil berusaha menghentikan pendarahan dari kedua tapak tangan anaknya.

"Mia dah melampau ma! Kita berusaha untuk kembalikan semangatnya.. kita berdoa untuk dia tapi dia pula berusaha membunuh diri! Apa yang kau nak Mia? Kau nak biarkan lelaki tu rampas kesucian hati kau pula? Jangan pernah salahkan takdir Mia. Jangan pernah kesalkan hidup. Kau tak sedar ke berapa ramai lagi mangsa rogol di luar sana yang tak berpeluang meneruskan hidup macam kau? Jangan biarkan kebodohan lelaki tu pun buat kau bodoh!" Damia terdiam walau air matanya terus membasahi pipi gebunya.
Faridah hanya mampu diam, membiarkan Johan meneruskan kata-katanya dengan harapan dapat menyedarkan Damia.
"Berapa ramai lagi yang diuji di luar sana, sampai cacat pendengaran, buta pandangan tapi masih ada keinginan meneruskan hidup! Masih menghargai nyawa yang dianugerahi Allah. Abang tak kata dugaan kau tak sehebat mereka, tapi abang nak kau sedar Mia, betapa hebat pun ujian dan dugaan yang kita terima semuanya berpaksikan kembali pada Allah. Mengingati Allah," Johan tunduk menyelindungkan wajahnya yang dibasahi airmata.
Bukan niatnya untuk memburukkan Damia, tidak terdetik sedikitpun niat untuk melemparkan semua kesilapan di bahu Damia. Hati kecilnya turut tercalar dengan peristiwa yang menimpa adiknya. Perasaan bersalah menyelubungi dirinya yang mengakui tidak menjaga Damia sebaiknya. Andai sahaja dia tahu akan berlaku sesuatu, pasti Johan sanggup membatalkan niatnya untuk pergi mesyuarat. Aku tak patut biarkan Damia balik bersendirian!
"Maafkan Mia.. mama, abang Johan.."
"Mia tak pernah salah dengan mama, sayang," Faridah menyeka airmata Damia.
"Mia.. jasad ni milik Allah. Apa yang berlaku semua ada hikmah. Abang minta maaf tak lindungi Mia sebaiknya.."
Keluarga mereka bersatu dalam pelukan, bersatu dalam tangisan. Berdoa semoga ada sinar harapan yang cerah untuk mereka, semoga titik-titik luka tidak akan memutuskan ikatan silaturrahim yang sekian lama terbina. Semoga harapan itulah yang menghidupkan kembali keyakinan pada Mia. Semoga ada kesabaran yang subur pada jiwa Damia.
"Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." (al-Baqarah : 155)
************
10 Ramadhan..
Setahun berlalu. Hari ini Mia akan berdepan dengan peperiksaan akhir sem. Awal subuh tadi dia terdengar Mia membaca al-Mathurat sebagai permulaan hari yang baik untuk Mia menghadapi peperiksaannya. Hatinya semakin tenang saat melihat senyuman yang sentiasa terukir di wajah Damia.
"Mama doakan Mia dapat jawab yang terbaik nanti. Jangan lupa, sebelum jawab soalan..."
"Hadiahkan al-fatihah buat diri sendiri, pemeriksa dan saudara kita.. serta selawat untuk  Nabi," pintas Mia menyambung pesanan ibunya yang meresap di ruang fikirannya.
"Pandai pun anak mama ni. Johan pun hati-hati memandu tu.. jangan nak cepat sampai je."
"Baik ma. Insya-Allah.." jawab Johan perlahan.
"Beruntung Mia dapat  jawab exam dalam bulan Ramadhan ni. Insya-Allah dapat keberkatan, sambil berjihad dengan nafsu, berjihad pula dengan ilmu," tambah mama terus memberikan semangat buat Damia.
"Insya-Allah, betul tu Mia.. untung Mia tau. Asalkan niat betul, Allah pasti memelihara," sambung Johan sambil bersalam dengan ibunya dan diikuti Mia.
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah Iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal." (al-Anfaal : 2)
**********
'Banyak lagi persoalan yang belum terjawab. Masih ada masa untuk Haris memikirkan kembali keputusannya. Aku keliru. Benarkah dia benar-benar cintakan aku? Kenapa dia tidak mempersoalkan sedikitpun tentang kisah lalu aku? Maisarah menemaniku menemui Haris. Abang Johan dan mama pun tidak tahu pertemuan yang ku rancang dua hari sebelum tarikh pernikahan. Sepanjang menunggu kedatangan Haris, hati yang menanti penuh debaran diisi zikrullah.
Semoga Allah memberi  kekuatan dan ketenangan buatku. Maisarah tidak putus-putus memberikan nasihat agar aku mengawal emosi bertemu dengan lelaki yang belum lagi mempunyai ikatan sah denganku. Malah, ini adalah kali pertama aku akan bertemu dengan seorang lelaki yang membicarakan soal perasaan, soal diri masing-masing.'
"Haris dah datang," bisikan Maisarah seperti menusuk ke ruang hati.
"Assalamualaikum.." sapa Haris dan terus duduk berhadapan Damia. Mereka tidak tahu, Haris juga pertama kali duduk semeja dengan perempuan yang pertama menyentuh naluri lelakinya, Damia. Malah tidak terfikir pun, gadis muda berusia 21 tahun di hadapannya akan menjadi permaisuri hatinya, dunia Akhirat. Insya-Allah..
"Waalaikumussalam.." jawab Damia dan Maisarah serentak. Setelah itu, diam merajai suasana tatkala masing-masing menunggu pihak mana yang akan bersuara. Damia tunggu Haris. Haris pula menunggu Damia. Maisarah? Akhirnya Maisarah juga yang memulakan perbualan setelah minuman yang dipesan telah tiba.
"Awak.. awak masih ada masa nak ubah fikiran, Ris," ujar Maisarah.
'Thanks Mai! Tapi bukan aku ke sepatutnya cakap dialog tu?' getus hati kecil Damia.
"Nak ubah fikiran? Kenapa Damia? Awak tak setuju ke?" soal Haris, bingung sambil merenung Damia, mengharapkan jawapan.
"Bukan tak setuju.. tapi, tapi.. saya tak seperti perempuan lain. Awak kena faham tu."
"Ya. Saya faham Mia, awak tak sama dengan perempuan di luar sana. Awak gadis tabah yang tetap teguh di jalan Allah walaupun Dia sentiasa menguji awak."
"Tapi.."
"Damia, dengar sini. Bukan kecantikan jasad awak yang membangkitkan rasa cinta saya pada awak, kerana bagi saya semua wanita ciptaan Allah dicipta dengan kecantikan tersendiri. Tapi kecantikan hati dan keperibadian awak yang mengagumkan saya. Kerana tak semua wanita mampu bangun dan terus berpegang teguh pada takdir-Nya setelah rebah dengan dugaan atau musibah. Saya cintakan awak bukan untuk dunia je, tapi Akhirat. Serahkan laluan cinta pada Allah, bukan saya semata. Insya-Allah. Awak akan lebih tenang.."
Terdiam. Bibir seakan terkunci rapat untuk bersuara. Lidah seakan kelu untuk berbicara. Hanya satu yang ku tekadkan dalam hati. Aku redha atas ketentuan-Nya. Hanya dia yang tahu apa yang terbaik.
**********
Skrin komputer riba ditatap lama. Puisi itu benar-benar menyentuh jiwanya. Blog 'an-Nisaa' yang menjadi tatapan Haris kini menarik perhatian. Penuh dengan puisi keagamaan. Siapakah yang diilhami Allah S.W.T untuk menulis puisi yang begitu indah pada Iman. Semoga setiap pembacanya mendapat manfaat dan menghayati tiap bait-bait ayat yang begitu menggegarkan jiwa khalifah. Walau siapa pun penulisnya, semoga Allah merahmatinya.
CINTA..
Andai saja kau bisa merasa getaran HATIku,
Kau akan tahu betapa aku sangat meRINDUi-Mu..
Andai saja kau bisa menadah AIR MATAku,
Kau akan tahu betapa aku takut keHILANGan-Mu..
Andai saja kau JAUH dari diriku,
Kau akan lihat betapa KOSONGnya hidupku..
Andai saja kau HILANG dariku..
Berjuta nyawa pun tak mampu menghidupkan JIWAku!
Cinta..
Jatuhnya aku pada kekuatan cinta tanpa melihat-Mu..
Butanya aku pada dugaan yang menguji kasihku..
Biar nyawa jadi taruhan asalkan cinta ini dipertahankan..
Biar harta dan jasad terkorban..
Kerana cinta ini yang ku damba!
Cinta..
Menyebut nama-Mu takkan pernah jemu..
Mengingatimu takkan pernah lupa..
Memujimu takkan pernah rapuh..
Janji-Mu sentiasa teguh..
Cinta sehidup dan selepas mati..
Cinta yang sentiasa bahagia walau derita..
Aku menyintai sesuatu kerana cinta itu!
Aku hidup kerana cinta itu!
AKu mati kerana cinta itu!
Cukup bagiku cinta-Mu..
Itulah pelindung yang memeliharaku..
Itulah ketenangan yang mententeramkan aku..
Itulah kebahagiaan yang menyinariku..
Engkau yang selalu ada..
Engkau yang sentiasa bersama..
Saat suka dan duka..
Aku cinta pada-Mu..
Aku cinta pada takdir-Mu..
Aku cinta pada jalan-Mu..
Atas nama cinta..
"Aku naik saksi tiada Tuhan selain Allah, dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.."
Atas nafas cinta...
Subhanallah..
Alhamdulillah..
Allahu Akhbar..
Jihad cinta buat-Mu ya Rabb...
Pelihara nadiku untuk sentiasa mengingati-Mu..
Pelihara hatiku untuk sentiasa beriman pada-Mu..
Puisi 'Aku jatuh cinta' dibacanya berulangkali. Sesekali airmata yang jatuh disekanya segera. Bibirnya meniti istighfar. Puisi itu seakan merasuk kamar emosinya. Menerjah di ruang fikirannya. Lantas jasadnya bangun menyucikan diri dengan wudhu. Tenang. Jiwanya dibalut ketenangan usai sahaja solat tahajudnya tengah malam itu. Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahu Akhbar.. zikir berlagu pada bibir, jiwa dan meresap di hati.
**************
"Terima kasih kak Mia, selama ni akak dah banyak bagi dorongan dan nasihat pada Alia, kalau tak.. entahlah apa yang akan jadi."
Wajah Alia ditatap lama. Bukan kerana simpati yang membakar semangatnya untuk membantu Alia, tetapi gadis belasan tahun yang baru memasuki pusat perlindungan Anisa itu benar-benar menyentuh naluri wanitanya. Alia menjadi mangsa rogol manusia tak berperikemanusiaan. Kejam. Satu-satunya ayat yang layak menggambarkan derita gadis ini. Mujur Allah memberi rahmat dan petunjuk pada hambanya yang lemah. Biar jasad ditindas, tapi Iman sedikitpun tidak akan tercalar.
"Syukur pada ALLAH S.W.T, hanya dia yang memberi sinar pada jiwa kita. Kakak cuma jalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim, Lia."
"Semalam cikgu Haris beri ceramah sekejap je, tapi kali ini lebih banyak mendengar dan menghayati.. tak seperti selalu."
"Kenapa, dia cakap tentang apa?"
"Kebanyakan penghuni yang ada di sini lemas kerana cinta nafsu, ditindas kerana cinta dunia.. Tapi semalam, bila cikgu Haris berikan puisi ni.. kita sebagai wanita semua hanya terdiam. Dalam diam, semuanya ingin berubah dan bersihkan niat dalam hati, kak" sayu ucapan Alia sambil tangan kanannya lantas menghulur kertas putih yang berada di genggamannya tadi.
Mata membaca setiap bait ayat, menerjah ruang minda dan mencari sudut jiwa. Lantas bibir menguntum senyuman.
"Kenapa akak senyum semacam je, akak pernah baca puisi ni ke?" Alia bingung.
"Puisi ni sangat dekat dengan akak, Lia.. sentiasa rapat di hati akak.."
"Puisi ni diambil dari..."
"Blog an-Nisa," sambung Damia.
Tepat sangkaannya, getus Alia. "Kakak penulis puisi yang selama ni cikgu Haris beri pada kami?"soal Alia terus.
Namun Damia hanya memberikan senyuman sebagai jawapan. Menyembunyikan sedikit emosinya yang masih terkejut kerana suaminya menggunakan nukilan puisi dalam blognya sebagai bahan kaunseling. Tidak menyangka Haris turut menyelami curahan jiwanya dan menyampaikannya dalam corak bimbingan kaunseling.
"Cikgu Haris tak tahulah selama ni yang tulis puisi kegemarannya ialah isterinya sendiri," usik Alia.
"Akak pun tak sangka suami akak boleh terjah blog akak. Sebelum ni memang ada yang minta izin copy semua karya akak melalui emel, tapi akak tak tahu yang minta izin tu suami akak sendiri,"ujarnya sedikit tergelak. Subhanallah..
Kertas yang dicetak dari laman blognya ditatap bersama Alia.
Pilihanku..
Bukannya pada paras rupa yang menawan hati..
Kerana cintaku bukan pada pandangan semata..
Takut jika diwarnai kegelapan..
Kita buta hilang arah..
Pilihanku..
Bukannya pada manis tutur kata bermadah..
Kerana cintaku bukan pada janji yang bermaharajalela..
Andainya suara dikaburi fitnah,
Kita rebah tiada bermaya..
Pilihanku..
Bukan pada banyaknya harta dunia,
Kerana cintaku bukannya ternilai dengan harga..
Bimbang kemewahan membawa leka..
Menghilangkan cinta kita pada-Nya..
Lalu di manakah bahagia?
Pilihanku itu..
seorang yang buta..
Buta menilai paras rupa..
Sesungguhnya syahadahnya menggegar seluruh jiwaku..
Keikhlasannya melakar cinta yang diredha..
Tongkatnya pada akidah yang menyinari laluan bahagia
Pilihanku itu...
Seorang yang bisu..
Bisu mengungkapkan janji yang tiada pasti..
Kerana harapan disandarkan pada Illahi..
Pendiriannya menusuk nurani hawa..
Bait-bait kesyukurannya lahir pada sujud seorang hamba
Pilihanku itu..
Seorang yang papa dan hina...
Papa dengan takbur yang mengubur
Hina kerana sederhana..
Iman memujuk jiwanya..
Cintanya pada agama mengikat tali ukhwah..
Lalu disimpul teguh pada tiang pernikahan..
Pilihan kami..
Pada agama yang memelihara
Pada Syahadah yang mengiringi
Pada al-Quran yang membimbing..
Biar..
Cinta kami pada Maha Menyintai..
Kerana janji-Nya yang pasti
Cinta kami pada kekasih Illahi
Kerana memimpin ke jalan bahagia yang hakiki
Kasih isteri pada cinta yang diberi..
Biarlah sampai ke Akhirat nanti...
Kerana yang  sebenarnya ku mahukan padanya..
Bukan cuma kekasih duniawi..
Tapi teman menuju Syurgawi..
'Ramai yang mencari cinta tetapi tertipu olehnya,
Ramai yang kecewa kerana cinta dan putus asa pada rahmat-Nya,
Ramai yang membenci cinta dan membenci nyawanya.'
"Cinta yang dicari tanpa melalui Pencipta adalah cinta yang tiada batasnya. Cinta tanpa batasan hanya cinta sekadar hiburan. Hiburan yang bukan hanya melalaikan jiwa, menggelapkan hati malah buta pada Pencipta. Apabila musibah melanda, mula salahkan Tuhan kerana tidak menyedarkan daripada leka. Hati kita yang lemah, sentiasa digodai nafsu, sebab itu kita kena berpegang pada sandaran yang kukuh, Allah S.W.T. Adanya Iman.. apapun cabaran kita tetap mara ke hadapan. Insya-Allah."
Panjang bicara Damia.
Hilang kata-kata dari Alia, mereka berdakapan. Terusik dengan kata-kata Damia. Kenapalah sebelum ini aku tidak menghargai nyawa, terlalu awal untuk menyerah dengan kehidupan? Sedangkan Allah tidak putus-putus memberi kesempatan. Air mata mengalir di pipi gebu Alia. Hatinya terlalu akrab dengan Damia.
"Kenapa akak memahami Lia? Adik dan ibu Alia sendiri tak dapat nak faham Lia.. situasi Lia. Akak pun... pernah lalui masa derita macam Lia juga ke?"
Damia tersenyum, biarlah Alia mentafsirkan sendiri makna senyumannya kali ini. Alia memandang Damia dengan pandangan berkaca dan bibirnya turut menguntum senyuman walau soalannya tidak terjawab dengan lisan.
"Bukanlah masa 'derita' Lia.. tetapi masa yang terlalu berharga. Airmata yang menangis buat Pencipta, melihat putaran kehidupan dengan mencari hikmah yang tersembunyi dari Allah, rindu untuk terus sujud mengharapkan bantuan dan menyandarkan harapan pada-Nya. Istilah 'derita' itu patut digantikan dengan 'tarbiyah'. Kita belajar dan diajar melalui kehidupan, Alia. Jadi, jangan anggap ini masa derita buat Alia, belum tentu orang yang bahagia ikhlas mengingati Allah. Saat yang dianggap derita itulah kita sentiasa bertemankan doa."
"Ya. Alhamdulillah, terima kasih kak. Kakak terlalu banyak sedarkan Alia. Alia jahil dengan dunia kak."
"Alhamdulillah.. semuanya dari Allah.." Damia tersentak.
Sejak bila suaminya berada  di hadapan mereka? Tabir yang memisahkan jemaah lelaki dan wanita yang terselak ditiup angin menampakkan jasad Haris yang benar-benar berada di hadapan. Dengarkah dia semua bicaranya pada Alia?
Selesai berjemaah solat Asar, Haris terus mendekati isterinya. Tapi kali ini lain panggilan yang keluar dari mulutnya.
"Nampaknya hari ni biar abang yang masak untuk makan malam, khas buat isteri yang tersayang, an-Nisa," senyuman Haris memerangkap emosinya. Tapi...
"Abang sebut Nisa tu, nama madu buat Mia ke?" Damia sengaja mengusik.
"Amboi, tak payah nak sorok lagi.. lepas ni abang nak bukukan karya tulisan isteri abang. Tak payahlah nak hantar emel nak minta izin kan?"
Sah, Haris dengar tadi! Siap menyindir pula.
"Yelah abang, maaflah sebab berahsia dengan abang."
"Takdelah.. Alhamdulillah, abang beruntung berjumpa dengan penulis puisi kegemaran abang yang selama ni dekat dengan abang, dan dapat tahu rahsia sayang pun kat tempat kegemaran abang, kat surau rumah Anisa. Kenapalah abang tak boleh agak selama ni? Rupanya nama yang sayang beri untuk rumah perlindungan ni pun sama dengan nama blog sayang kan?"
Rumah perlindungan untuk wanita  yang tertindas diberi nama Anisa, walaupun masih baru tetapi berjaya memberi sinar baru buat penghuni-penghuninya. Alhamdulillah, itulah harapan mereka. Itulah Jihad cinta Damia.
"Eh, kata nak masak untuk isteri tersayang, jomlah balik rumah cepat, nanti 'traffic jammed' lambat pula."
"Sebelum tu... nak tahu tak rahsia abang tak?"
"Apa?" ucap Damia tidak sabar.
"Puisi  'Aku jatuh cinta' tu lah yang buat abang terus menyintai sayang kerana Allah.." bisik Haris. Bisikan yang membawa manik-manik ketenangan apalagi saat Haris menyebut nama Allah. Lantas zikrullah menghiasi kamar hatinya sambil menatap wajah suami tercintanya Haris.
Jihad cinta buat-Mu ya Rabb. Pelihara nadiku untuk sentiasa mengingati-Mu. Pelihara hatiku untuk sentiasa beriman pada-Mu.